Saturday, December 24, 2011

Alat Sulit Putus Digigit Tikus?

Sebesar inikah tikus tersebut?

Aneh dan mengerikan. Sungguh rakusnya seekor tikus sehingga putus alat sulit digitnya? Peristiwa malang tersebut telah meragut nyawa Arun Sandhukh. Baca laporan berikut..

Seorang pesakit radang paru-paru atau pneumonia dipercayai mengalami pendarahan teruk sehingga maut akibat alat kelamin lelakinya putus digigit tikus di sebuah hospital kerajaan di Kolkata, di India, demikian menurut laporan sebuah media tempatan.Kejadian menakutkan itu berlaku di Hospital SSKM semalam ke atas Arun Sandhukh, 53, semasa dia menerima rawatan kerana penyakitnya itu, kata akhbar Asian Age.

Pihak berkuasa hospital berkenaan mengakui banyak tikus berkeliaran dalam wad namun enggan mengulas lebih lanjut mengenai kejadian tersebut.

"Tidak seorangpun jururawat berada bersama pesakit yang mengerang kesakitan. Alat kemaluan lelakinya putus digigit tikus," kata seorang saudara kepada lelaki malang itu yang hanya dikenali sebagai Bishwanath kepada pemberita.

Ahli keluarga mangsa yang datang melawat menemui Arun mati berlumuran darah, kata laporan itu.Kejadian malang di hospital yang tidak cukup kelengkapan dan sesak dengan pesakit di Kolkata, ibu negeri Bengala Barat itu telah menarik tumpuan media beberapa minggu kebelakangan ini. 


Sabtu lalu, seorang pekerja pembersih hospital yang pemabuk di Kolej Perubatan Calcutta dilaporkan telah mencabut topeng oksigen seorang bayi yang berusia tiga minggu mengakibatkan kematiannya.

Dalam satu lagi tragedi malang di sebuah hospital swasta juga di Kolkata, pada 9 Disember lepas, lebih 90 orang mati lemas terhidu asap dalam satu kebakaran di bangunan hospital tersebut. bernama


Kena waspadalah dengan tikus lepas ni jangan sampai apa yang berlaku di India berlaku di  negara kita!

Tuesday, November 15, 2011

Cokmar bernilai 2.4 juta?

Kredit to The Borneo Post
KUCHING: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula semalam dan akan bersidang selama lapan hari hingga 23 November ini menyaksikan penggunaan cokmar baru menggantikan yang lama.

Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dalam permasyhuran pada hari pertama Persidangan DUN di sini semalam berkata cokmar itu menggambarkan ciri etnik yang pelbagai di Sarawak.

“Bahagian atas cokmar berbentuk bumbung DUN, ada baruk, di bahagian bawah ada ukiran burung kenyalang. Ini merangkumkan semua budaya semua kumpulan etnik di Sarawak,” katanya.

Selain itu ia mempunyai ukiran keris dan bunga raya. Cokmar itu dibuat di Brunei yang bernilai 2.4 juta itu dibeli dengan harga hanya RM700,000 dan ia merupakan idea Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Penduduk Malaysia Tergemuk di ASEAN?



Terkejut juga apabila Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kesihatan tentang tahap pengambilan gula Rakyat Malaysia melalui Dewan Rakyat semalam. Tahap pengambilan gula rakyat Malaysia adalah terlalu tinggi iaitu purata 51 gram melabihi saranan yang  ditetapkan oleh WHO iaitu 50 gram.

Justeru diharapkan kita semua  mengambil inisiatif tertentu dalam mengurangkan pengambilan gula seharian demi untuk kesihatan kita juga.


Thursday, November 3, 2011

Wow! Kerapu 200Kg?


Seorang nelayan yang bertuah di Miri, Sarawak berjaya menangkap Ikan Kerapu seberat 200Kg dengan hanya menggunakan Pukat. Ikan tersebut telah dijual melalui sebuah restoran dengan harga RM16000?. Rezeki masing-masing kan..

Tuesday, September 27, 2011

Polis Lebih Stres berbanding Guru?


Biasa kita dengar lebih banyak rungutan tentang tekanan yang dihadapi oleh guru berbanding penjawat awam lain, namun hasil kajian Jabatan Kesihatan Masyarakat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) mendapati anggota Polis lebih mengalami tekanan atau stres. Ia adalah disebabkan lambakan beban kerja dan kerap mendapat tugasan di luar waktu pejabat atau on call. baca lanjut 

Tuesday, August 16, 2011

Majlis Fatwa : Henti Sementara minum Kopi Luwak



IPOH: Orang ramai dinasihatkan menghentikan sementara aktiviti meminum ‘kopi tahi musang’ atau kopi luwak sehingga Majlis Fatwa Kebangsaan membuat keputusan sama ada produk berasal dari Indonesia itu halal diminum. 

Difahamkan, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Jakim sebelum ini pernah mengadakan kajian kopi luwak di Jakarta, Indonesia pada 8 hingga 11 Jun lalu, namun fatwa berhubung kopi berkenaan belum diputuskan hingga kini.

Sumber Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, rombongan kajian itu diketuai Mufti Pulau Pinang merangkap pengerusi Panel Kajian Syariah (PKS), Datuk Hassan Ahmad, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Mahamad Arifin, Timbalan Mufti Kedah, Datuk Fadhil Awang dan beberapa kakitangan Jakim.

“Tujuan kajian itu dijalankan merujuk kepada keputusan PKS kali ke-73 supaya mengadakan kajian lanjut mengenai status kopi luwak dengan mendapatkan sampel biji kopi yang keluar bersama najis musang serta melihat secara lebih dekat proses penghasilan kopi itu.

“Difahamkan rombongan Malaysia itu dibawa ke pusat pemprosesan kopi luwak di Cileungsi, Bogor bagi melihat sendiri kaedah pemprosesan kopi berkenaan,” katanya. Ahli rombongan turut dibawa menemui Majlis Ulama Indonesia (MUI) untuk bertukar maklumat selain pandangan berhubung kopi berkenaan yang difatwa halal oleh majlis ulama republik berkenaan.

Sumber Jakim itu berkata, hasil kajian itu dibawa ke Mesyuarat Panel Kajian Syariah, Jakim dan seterusnya diangkat ke Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk diputuskan berhubung sama ada ia halal diminum atau sebaliknya.

“Berdasarkan lawatan itu, pihak rombongan turut mendapatkan sampel biji kopi itu membolehkan kajian terperinci dilakukan. Difahamkan pihak MUI menghalalkan kopi itu diminum dengan alasan biji kopi itu tidak menyerap kotoran najis musang serta boleh disemai dan menjadi pokok sekiranya ditanam,” katanya.[harian metro]

Wednesday, August 3, 2011

Perpustakaan terbesar dalam kapal




Berita baik kepada semua ulat buku, Kapal Logos Hope bakal berlabuh di beberapa lokasi terpilih di Malaysia. Pulau Pinang dijadikan lokasi pertama dengan jangkaan ketibaan pada 18 Ogos 2011.


Mempunyai koleksi bahan rujukan sehingga 5000,  dijangka ia akan menarik minat pembaca untuk melawati Logos Hope. Selepas Pulau Pinang, Logos Hope akan membuat persinggahan di Port Klang pada 19 Sepetember 2011, Kuching 28 Oktober dan Kota Kinabalu 18 November 2011. 



Wednesday, July 27, 2011

Cantiknya syiling baru


Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini telah membuat pengumuman akan memperkenalkan duit syiling baru siri ketiga awal tahun depan bagi menggantikan siri semasa yang berusia lebih 20 tahun. Duit syiling baru tersebut mempunyai nilai 50 sen, 20 Sen, 10 Sen dan 5 sen. Apa yang boleh dikatakan duit syiling tersebut sangat cantik dan unik setelah diteliti melalui sampel syiling yang ditunjukkan. Ditambah pula dengan penampilan warna emas untuk syiling 50 Sen dan 20 Sen meningkatkan lagi daya tarikan duit syiling baru yang bakal diperkenalkan itu.

Dengan tema ‘Keunikan Malaysia’ duit syiling baru tersebut memaparkan motif seni kraftangan tradisional dan keindahan flora dan fauna yang ada di negara ini.

Wednesday, July 20, 2011

Impak Juvana!


Syabas kepada Khabir Bhatia kerana sekali lagi telah menghasilkan fenomena baru dalam drama bersiri. Sebelum ini drama bersiri Nur Kasih juga telah mencatatkan jumlah penonton yang tinggi untuk setiap episod. Hasil karya beliau tidak terhenti di situ dan meneruskan tradisi memberikan kelainan dalam karyanya. Terbaru, drama Juvana yang telah disiarkan pada 25 April 2011 dan berakhir pada 18 Julai 2011 juga telah mencetuskan fenomena baru kepada penonton.


Buktinya, Statistik daripada AC Nielsen menunjukkan drama bersiri Juvana telah mencatatkan 4.2 juta penonton untuk episod terakhir. Drama bersiri terbitan Filemscape ini mempunyai kekuatan yang tersendiri. Walaupun ramai bintang baru dalam drama ini, namun kekuatan  garapan penceritaan yang berbeza jika dibandingkan dengan drama-drama yang pernah disiarkan oleh TV3 sebelum ini telah menarik perhatian penonton.

Juvana yang mengisahkan tentang liku-liku kehidupan remaja berusia 17 tahun di pusat pemulihan akhlak kerana dituduh membunuh ibunya menampilkan kewujudan watak protagonis dan antagonis dalam penceritaan. Dibarisi pelakon utama seperti Zahiril Adzim, Bront Palarae dan Izreen Azminda telah berjaya menguatkan lagi drama ini.

Drama bersiri Juvana, sememangnya telah banyak memberi pengajaran kepada semua. Semoga Pengarah-pengarah drama lain dapat memberikan  suntikan baru serta genre yang berbeza dan menarik selepas ini.





SSPN diwajibkan semula

Bermula pada tahun 2012 Skim Simpanan Pendidikan Nasional(SSPN) akan diwajibkan semula. Sehubungan itu, pelajar-pelajar yang ingin membuat permohonan pembiayaan PTPTN perluluh membuka akaun SSPN dengan deposit minimun RM20 terlebih dahulu.

Kerajaan mewujudkan semula syarat wajib ini adalah untuk menggalakkan penabungan di kalangan masyarakat.

PTPTN pernah mewajibkan SSPN pada tahun 2008 namun syarat tersebut terpaksa ditangguhkan seketika pada tahun 2009 memandangkan kerumitan pembukaan akaun pada waktu tersebut.

Antara ejen pembukaan SSPN adalah BSN, CIMB, Agro Bank, Bank Rakyat, Bank Islam dan Maybank.

Thursday, July 14, 2011

Akademi Kepolisan bakal diwujudkan di UiTM


SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini memeterai kerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi antara lain mewujudkan Akademi Kepolisan di UiTM bagi mendedahkan penuntut universiti itu mengenai kerjaya dalam bidang berkenaan dan peluang pengajian kepada anggota polis yang berminat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata PDRM menyambut baik hasrat UiTM bagi menubuhkan akademi berkenaan yang akan mempertingkatkan kemahiran dan kelayakan akademik anggota polis selain menjalankan kajian secara bersama bagi meningkatkan mutu perkhidmatan pihak berkuasa itu.

"Kita harap jiwa kepolisan ini akan didedahkan kepada penuntut UiTM yang bakal menjadi ketua negara pada masa depan supaya mereka faham bidang tugas polis dan dalam masa yang sama bagi pihak kita akan mempertingkatkan sistem penyampaian PDRM," katanya dalam sidang media selepas mewakili PDRM menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama itu dengan UiTM di sini hari ini.

Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar mewakili institut pengajian tinggi itu di majlis tersebut.

Dr Sahol Hamid berkata fasa pertama kerjasama PDRM dan UiTM untuk menggerakkan akademi itu, Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur akan terbabit secara langsung dalam pengendalian Kursus Bahasa Inggeris Komunikatif pada 18 hingga 22 Julai ini di UiTM membabitkan 25 anggota polis frontline dan polis pelancong di Lembah Klang. Harian Metro

Saturday, July 9, 2011

Kongres Profesor; 14 resolusi jayakan transformasi

Kongres Profesor 2011 yang telah berlangsung selama tiga hari dan berakhir semalam di Dewan Merdeka, PWTC Kuala Lumpur telah meluluskan 14 resolusi SEPERTI berikut;


1. Mengukuhkan dasar, proses perancangan dan tadbir urus sektor sumber asli dan alam sekitar; transformasi ekonomi yang disokong sistem pelaksanaan, pemantauan dan pelaporan berasaskan sasaran keberhasilan konkrit dan jelas.
2. Kod tadbir urus sektor awam dan kaedah penguatkuasaan dibangunkan bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian dan pengurusan.
3. Pembangunan modal insan berpengetahuan dan kemahiran tinggi serta sistem keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dicadang bagi memastikan ICT menjadi pemacu utama transformasi. 
4. Pengukuhan Polisi Inovasi Negara bagi memastikan kelestarian ekosistem inovasi tanpa sempadan iaitu membabitkan semua peringkat masyarakat bermula di sekolah hinggai ndustri dan agensi  kerajaan. 
5. Bagi memastikan negara tidak terdedah kepada ancaman penyusutan sumber dan krisis tenaga, pembangunan kecekapan penggunaan tenaga, pengoperasian perkakasan, perancangan bandar dan pemerkasaan penjanaan tenaga daripada sumber boleh diperbaharui dicadangkan. 
6. Sokongan padu terhadap penegasan dasar mengekalkan nisbah 60:40 bagi pelajar aliran sains berbanding pelajar bukan sains yang merosot pada tahap 20:80 ketika ini bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 60 penyelidik, saintis dan jurutera bagi setiap 10,000 tenaga kerja. 
7. Usaha menjana dan memperkasa program penyelidikan dan pembangunan dalam bidang sains sosial disifatkan kritikal bagi membekalkan data sosial mencukupi untuk pelaksanaan transformasi negara. 
8. Menekankan kepentingan sistem pendidikan diperkukuhkan menerusi pendekatan kesepaduan bermula pendidikan dasar hingga tertiari yang berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta berorientasikan bakat, bukan peperiksaan. 
9. Akses perkhidmatan kesihatan secara saksama dengan memberi keutamaan kepada aspek pencegahan penyakit secara menyeluruh dan berkesan. 
10. Menitikberatkan kesepaduan sosial sebagai prasyarat untuk menjamin transformasi negara yang seimbang. 
11. Bagi memartabat industri farmaseutikal, kerajaan dicadang mewujudkan keupayaan sebagai pengeluar ubatan halal bagi mengelak kebergantungan terhadap pasaran luar yang diragui kesesuaiannya dan boleh mengancam kesihatan rakyat. 
12. Turut diusul bagi bidang kesihatan adalah masalah ketagihan dadah dipertanggungjawabkan bersama Kementerian Kesihatan kerana ia dikenal pasti sebagai penyakit. 
13. Meminta kerajaan memastikan inti pati pembangunan dikawal sistem nilai budaya yang murni untuk mengelak penyelewengan, mengekalkan moral tinggi serta menegakkan prinsip keadilan sosial. 
14. Bagi memastikan sekuriti makanan, negara dicadang memberi perhatian khusus kepada isu penggunaan tanah, koordinasi antara pelbagai kementerian dan agensi, dasar insentif, kebergantungan kepada buruh asing, mekanisme pemasaran, pemindahan teknologi, perubahan iklim, sumber air dan dana pelaburan.
Semoga dengan adanya 14 resolusi yang telah dicadangkan oleh Konges Profesor Negara ini diharapkan agar ia dapat membantu kerajaan dalam menjayakan usaha transformasi negara.

Friday, July 8, 2011

Harga emas RM202.57 segram?



Permintaan kukuh pengguna serta pelabur global menjelang 2014

HARGA emas dijangka meneruskan aliran meningkatnya sehingga mencecah AS$2,100 seaun atau AS$67.5 (RM202.57) segram menjelang 2014, meningkat 33 peratus berbanding harga semasa AS$1,527.2 (RM) atau AS$49.1 (RM147.32) segram susulan permintaan kukuh pengguna serta pelabur global. 

Ketua Strategi Pelaburan Standard Chartered Bank (Stanchart), Steve Brice, berkata menjelang awal tahun depan, harga emas dijangka meningkat melepasi paras AS$1,600 seaun atau AS$51.4 (RM157.34) segram, 4.3 peratus lebih tinggi berbanding harga semasa. [Berita Harian]

Perlukah Parlimen Belia Malaysia?

Parlimen Belia Malaysia (PBM) dijangka dilaksanakan menjelang tahun 2013 dengan melibatkan seramai 222 perwakilan belia dari setiap Parlimen di seluruh negara. Cuma persoalan yang timbul ialah bagaimanakah kaedah pemilihan perwakilan untuk mewakili komuniti yang mewakili 222 Parlimen di seluruh negara?
Perdana Menteri baru-baru ini berkata, Parlimen Belia bakal diwujudkan bagi mengetahui pandangan, cadangan dan cita rasa golongan belia di negara ini.
Saya masih tertanya-tanya apakah matlamat penubuhan  Parlimen Belia Malaysia? Adakah peranan ahli parlimen sedia ada tidak memadai untuk membantu golongan belia? Laman utama Kementerian Belia dan Sukan hanya memberikan Roadmap Parlimen Belia tanpa menerangkan matlamat serta objektif penubuhannya dengan jelas.

Monday, July 4, 2011

Golden Churn Pure Creamery Butter tidak halal


Golden Churn Pure Creamery Butter sememangnya popular di Sarawak.  Walaubagaimanapun kita sebelum ini dikejutkan dengan makluman awal pengesahan tidak halal  produk ini melalui Jabatan Agama Islam Johor.



Produk  yang mendapat pengesahan halal daripada New Zealand bagaimanapun dipercayai mengandungi DNA Babi. Isu pengharaman produk ini juga telah disahakan oleh pihak Jakim sebagaimana dimaklumkan oleh Datuk Daud Abdul Rahman, Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam Sarawak). Berdasarkan pengesahan tersebut diharapkan seluruh umat Islam tidak menggunakan produk ini lagi.

Untuk makluman juga, bukan semua pengusaha kek di Sarawak menggunakan Golden Churn. Pengusaha kek di Sarawak telah lama beralih ke jenama Creamery Butter jenis lain memandangkan harga Golden Churn agak mahal. Walaubagaimanapun, umat Islam kena double confirm juga dengan pengusaha kek berkenaan dengan jenis mentega yang digunakan.

Thursday, June 23, 2011

Tony Fernandes dapat Anugerah lagi


Tahniah buat Tan Sri Tony Fernandes kerana telah mendapat Anugerah Pengiktirafan Pengarah Korporat Asia. Anugerah tersebut diberikan oleh Corporate Governance Asia di Hong Kong.

Anugerah tersebut adalah satu pengiktirafan Fernandes dalam meningkatkan etika perniagaan, ketelusan dan tanggungjawab sosial korporat dalam perniagaan Airasia. Sebelum ini Fernandes pernah menerima Visionaries & Leadership Series oleh International Herald Tribune, sebuah syarikat suratkhabar di Amerika Syarikat, bagi kerjanya yang cemerlang di syarikat AirAsia.

Pernah menerima "Ketua Syarikat Malaysia bagi Tahun 2003" (Malaysian CEO of the Year 2003) pada Disember, 2003 — sejenis anugerah tertinggi yang sehingga kini, hanya diberikan kepada sembilan pengusaha di Malaysia oleh American Express dan Business TimesAnugerah ini diberikan kepada Fernandes bagi mengakui prestasi pengusahaan dan kemahiran pengurusannya di kalangan pemimpin-pemimpin syarikat-syarikat Malaysia, "Pengusaha Baru Malaysia Yang Terutama Bagi Tahun 2003" (Emerging Entrepreneur of the Year - Malaysia 2003) pada tahun 2004, dan "25 Bintang Asia" (25 Stars of Asia) oleh Business Week pada tahun 2005.(Wikipedia)

Walaupun telah banyak menerima Anugerah serta pencapaian luar biasa dalam Airasia, Baginya pencapaian tersebut bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga untuk kakitangan AirAsia yang penuh dedikasi dalam mengembangkan syarikat penerbangan sehingga menjadikan ia semakin kukuh setiap tahun. Seperti resmi padi “Semakin berisi semakan tunduk” begitulah boleh disamakan dengan Fernandes. Sebanyak mana pun pengiktiran yang diberikan di peringkat antarabangsa, namun beliau masih kekal dengan sikap rendah diri dan mengekalkan gaya sederhana dalam penampilannya. Contoh buat semua!




Monday, June 20, 2011

KL Gangster: Fenomena baru Filem Malaysia


Syabas kepada Pengarah muda Syamsul Yusof di atas kejayaan Filem Gangster. Khabarnya kutipan telah mencecah hampir 10juta. Wow! Tidak keterlaluan jika saya katakan filem ini telah mampu memberi saingan yang hebat kepada filem-filem luar lain. Satu rekod yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana filem tempatan sebelum ini. Kelainan yang cuba ditampilkan oleh Syamsul dalam filem ini menjadi. Jalan ceritanya ringkas tetapi padat dengan aksi yang mendebarkan.

Kewujudan Filem Gangster bukan sekadar untuk hiburan semata-mata tetapi bagi saya banyak memberi pengajaran kepada sesiapa yang menontonnya. Kegagalan dalam Institusi kekeluargaan amat memberi pengajaran yang besar buat kita. Lihatlah bagaimana rosaknya kedua-dua adik Malek(Lakonan Aaron Aziz) setelah beliau dipenjarakan selama lima tahun. Sifat tamak untuk mengejar kemewahan juga terserlah melalui watak Jai (lakonan Ady Putra). Tindakan Jai yang sanggup bermati-matian mempertahankan Shark (Syamsul Yusof) akhirnya berjaya disedarkan oleh Malek.

Hidup selama 5 tahun di dalam penjara telah banyak menyedarkan Malek, beliau cuba memulakan hidup baru walaupun hanya menjadi penjual sayur. Sungguhpun rakan baiknya melalui watak Ajib (Soffi Jikan) cuba mempersendakan Malek dengan dialog ” Lu jual sayur sekilo 3 ringgit, gua jual sayur sekilo 3ribu ma” tetapi malek tidak mengendahkan sindiran tersebut, jelas kelihatan Malek tegas dengan pendiriannya yang tidak terjebak dengan kumpulan Dragon(Adam Corrie) walaupun ganjarannya amat besar.

Ibu mana yang tidak sayangkan anak, nilai kasih sayang ibu terhadap anak terserlah dimana Ibu Malek masih sayangkan serta memaafkan Malek walaupun dia banyak membuat kesilapan sebelum ini. Begitu juga kasih sayang abang terhadap adik tidak akan terputus walau seberat mana sekalipun kesalahan adik. Lihatlah bagaimana keangkuhan Jai telah dilumpuhkan Malek, Sungguhpun Jai telah berulang kali meminta agar Malek membunuhnya, tetapi dengan nilai pertalian darah serta sayangnya Malek terhadap Jai menyebabkan beliau tidak membunuhnya.

Unsur-unsur pengajaran yang cuba digarapkan oleh Pengarah dalam filem ini sememangnya sampai kepada penonton. Bertemakan filem aksi cukup memberi kepuasan kepada sesiapa yang menontonnya. Daripada penelitian saya, kebanyakkan komen serta penulisan –penulisan lain rata-ratanya memberikan gambaran positif filem ini. Nah, kehebatan Syamsul menjadi Pengarah muda terbaik memang tidak disangkal lagi. Apa-apa sahaja buah tangan terbarunya mesti menjadi bualan hangat dan telah mencipta fenomena baru filem Malaysia



Saturday, June 18, 2011

Skim Latihan 1 Malaysia – Maybank


Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M – Maybank) adalah satu daripada Program Korporat Maybank sebagai menyokong  inisiatif kerajaan untuk menyediakan pengalaman pekerjaan kepada graduan yang masih menganggur. Graduan yang terpilih menyertai SL1M-Maybank akan menjalani latihan intensif selama tiga bulan di Akademi Maybank dan latihan industri selama lima bulan di unit-unit perniagaan Maybank.

Syarat-syarat kelayakan

-        Pemegang Ijazah yang belum mendapat pekerjaan sekurang-kurangnya dalam tempoh enam(6) bulan selepas memperolehi Ijazah atau sedang bekerja dengan pekerjaan yang tidak setaraf dengan kelayakan.
-         Mendapat keputusan CGPA 2.50  dan ke atas.
-         Permohonan terbuka kepada graduan dalam semua disiplin pengajian
-         Warganegara Malaysia
-         Memiliki semangat kerja yang baik dan sentiasa mahu meningkatkan  kemahiran diri.

Semoga graduan yang masih belum mendapat pekerjaan dapat merebut peluang ini. Cepat-cepatlah menghantar permohonan melalui SL1M@maybank.com.my


Thursday, June 16, 2011

Apakah rasional harga baru pakej Astro?


Cadangan kenaikan harga baru pakej Astro telah menimbulkan rasa tidak puas hati semua pihak. Apakah Astro tidak untung? Mengapa membebankan lagi rakyat yang sememangnya telah terbeban dengan kos hidup ketika ini? Kesabaran rakyat ada hadnya. Apakah pihak Astro mahu menunggu ramai pelangganya memboikot dan memberhentikan langganan baru mereka sedar?

Kita sedia maklum bahawa Astro merupakan pengendali tunggal siaran berbayar di negara ini. Walaubagaimanapun itu bukanlah alasan pihak Astro dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga pakej langganan. Apakah justifikasi kenaikkan yang dicadangkan ini sedangkan bentuk siaran Astro masih di takuk yang  sama? Sejauhmanakah pengaruh justifikasi tersebut(jika ada) sehingga mempengaruhi kenaikkan harga pakej langganan?

Kerajaan seharusnya tegas untuk menyelesaikan isu kenaikkan ini. Walau dengan apa alasan Astro sekali pun kerajaan seharusnya menghalang tindakan Astro demi kepentingan rakyat. Rakyat sememangnya sudah tidak mampu lagi menanggung yuran langganan jika harga pakej tesebut dinaikkan juga.

Apa-apa pun kita tunggu apakah hasil perbincangan di antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan Astro sebagaimana dimaklumkan Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Joseph Salang Gandum. Moga perbincangan tersebut membuahkan hasil dan diharapkan tiada kenaikkan harga pakej selepas ini.

Monday, June 13, 2011

Tuah Hazama


Berbadan kecil tetapi mempunyai vokal yang mantap. Itulah Hazama ataupun nama sebenarnya Hazama Bin Ahmad Azmi. Sering tampil membuat persembahan bersama Kumpulan Meet Uncle hussein sebelum ini tidak memadai buat Hazama memandangkan beliau hanya vokalis undangan sahaja, Sering membuat persembahan secara ’live’ tidak bermakna baginya selagi beliau tidak mempunyai album sendiri.

Kegagalan kali pertama untuk memasuki AF sememangnya tidak mematahkan semangat pemuda ini untuk meneruskan usaha dalam perjuangan seni suara.  Ternyata AF9 telah membuka ruang kepada Hazama, Keterbukaannya mengejar gelaran juara amat dikagumi dengan memberikan persembahan yang konsisten setaip minggu. Peluang yang diberi hanya sekali dan Hazama telah membuktikan kepada semua pihak dengan menggunakan peluang yang diberikan pihak Astro semaksima yang mungkin.

Walaupun keistimewaan yang ada dipandang sepi dan terlepas peluang sebelum ini, tetapi berkat kesabaran yang tinggi akhirnya Hazama mencipta sejarah tersendiri. ’Tuah ayam nampak di kaki tuah Hazama ternyata pada AF9’ Nah! ambik kau sekali masuk terus ke puncak juara! Semangat bersungguh-sungguh Hazama akhirnya berbaloi apabila diobatkan sebagai juara AF9. 


Dengan kemenangan tersebut Hazama berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM200 ribu sebuah trofi dan beberapa hadiah iringan. Naib Juara telah dimenangi oleh Lena, tempat ketiga disandang oleh Fina dan tempat keempat dimenangi oleh Azri.

Mesej jelas atas kejayaan Hazama, tiada yang mustahil dalam dunia ini. Gagal sekali bukan selama-lamanya kita gagal. Manfaatkanlah keistimewaan yang pada diri, nescaya jika digilap akan membuahkan hasil yang dikehendaki. 

Wednesday, June 8, 2011

Mahkamah Syariah Kuantan Bersidang Malam

Satu usaha yang proaktif. Langkah  Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan bersidang pada waktu malam seharusnya dipuji.  Semoga inisiatif sebegini dapat diteruskan dan menjadi contoh mahkamah-mahkamah lain terutamnya  yang melibatkan banyak kes-kes  yang telah didaftarkan. Untuk rekod, Mahkamah Syariah Petaling Jaya juga pernah mengadakan sidang mahkamah pada waktu malam sebelum ini.


Tuesday, June 7, 2011

Adenan Satem Bakal KM Sarawak?

Tan Sri Adenan Satem
Spekulasi siapakah bakal Ketua Menteri Sarawak hangat kembali dengan perlantikan Tan Sri Adenan Satem sebagai Menteri tugas-tugas khas negeri. Tugas utama portfolio tersebut antara lain ialah menguruskan sebahagian besar perkara berkaitan dengan tanah. Dengan perlantikan jawatan tersebut juga, peranan Adenan dilihat lebih meluas dan dilihat mampu mendominasi kabinet Negeri Sarawak.


Adenan (dua dari kiri) ketika mengumumkan calon-calon
yang bertanding pada PRN Sarawak ke-10

Kepercayaan yang diberikan oleh Tan Sri Abdul Taib Mahmud amat kuat sehingga memberi sinar baru dalam karier politik Adenan yang telah lama menyepi. Walaupun hanya memegang jawatan sebagai Ketua Penerangan dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), peranan Adenan sejak kebelakangan ini dilihat perlahan-lahan cuba ditonjolkan sekaligus mampu menenggelamkan calon popular pengganti Ketua Menteri seperti Datuk Amar Abang Johori  Tun Abang Openg dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.
Adenan 67, pernah mememang jawatan Menteri Persekutuan sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (ketika menjadi Ahli Parlimen Batang Sadong). Kini Adenan masih menjadi Adun Tanjung Datu setelah berjaya  mengekalkan kerusi tersebut pada PRN ke-10 baru-baru ini.

Adakah spekulasi ini akan menjadi kenyataan? Sama-samalah kita nantikan. Selagi pelan peralihan kuasa tidak diumumkan selagi itulah rakyat Sarawak tertunggu-tungu siapakah pengganti Taib. 

Monday, June 6, 2011

1MDB tawar 500 biasiswa

Tahniah kepada pelajar-pelajar yang telah berjaya mendapat biasiswa daripada 1 Malaysia Development. Langkah 1MDB ini dapat memberi kelegaan kepada pelajar –pelajar yang tidak mendapat tajaan JPA. Ia dapat meringankan beban ibu bapa terutamanya dari kalangan yang berpendapatan rendah untuk  meneruskan pengajian anak-anak mereka. Cuma pesanan saya, semoga pelajar menghargai pemberian biasiswa ini dengan menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pembelajaran di Universiti nanti.


                                                                                   - Kosmo


Zon Larangan Merokok di Melaka


Langkah tegas kerajaan Melaka dalam menguatkuasakan Peraturan larangan merokok amat dialu alukan. Melalui Peraturan tersebut lima kawasan telah dikenalpasti dan diwartaan sebagai Zon Larangan Merokok iaitu di Bandar Melaka, Melaka Raya, Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh dan pusat bandar Alor Gajah serta pusat bandar Jasin.

Berikut adalah Info Lanjut berkenaan dengan Zon Larangan Merokok di Melaka

  Bandar Warisan Dunia - meliputi sekitar Bukit St. Paul yang menempatkan beberapa bangunan kerajaan, muzium, gereja, bangunan Stadthuys, Kota A’Farmosa dan persisiran Sungai Melaka. Kawasan perumahan dan komersil yang bersejarah serta bangunan keagamaan sepanjang Jalan Tun Tan Cheng Lock (Jalan Heren), Jalan Hang Jebat (Jonker Street), Jalan Tokong/Tukang Emas/Tukang Besi dan Jalan Kampung Pantai, Jalan Merdeka, Jalan Kota Laksamana, Jalan Ong Kim Wee, Jalan Tan Chang Yan, Jalan Munshi Abdullah, Kampung Banda Kabadan Jalan Chan Koon Cheng.

  Melaka Raya - premis kedai, hotel, pusat beli belah termasuk Dataran Pahlawandan MahkotaParade.

  Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) - bangunan kerajaan seperti Wisma Persekutuan, Menara Persekutuan, Wisma Negeri, bangunan komersial dan perniagaan seperti Pusat Boling Antarabangsa Melaka, Kota Fesyen dan hotel. 

Tuesday, May 31, 2011

Skim Latihan Siswazah 1 Malaysia

Sebelum ini telah banyak Skim seumpamanya dilaksanan oleh kerajaan bagi membantu Siswazah mencari pekerjaan. Bagaimana pula dengan Skim latihan Siswazah 1Malaysia? Apakah perbezaannya dengan Skim-Skim latihan sebelum ini?

Melalui Skim Lattihan 1Malaysia, siswazah akan diberi latihan dan bimbingan di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Mereka yang terpilih akan dibimbing selama setahun, dan selepas itu, dibenarkan mencari kerja lain atau diserapkan oleh syarikat berkenaan. Untuk tujuan tersebut seramai 3,000 siswazah kumpulan pertama akan diambil secara beransur-ansur. Skim Latihan 1Malaysia dikendalikan oleh Kementerian Sumber Manusia

Berilah Skim apa pun, jika pelajar itu sendiri mengambil sikap acuh tak acuh mencari pekerjaan tidak kemana juga. Pelajar seharusnya bersiap sedia untuk mencari pekerjaan pada akhir semester pengajian. Universiti bukanlah tempat pengajian  yang berorentasikan peperiksaan semata-mata. Sepanjang pengajian pelajar haruslah membentuk personaliti yang menarik serta meningkatkan tahap komunikasi sebagai persiapan untuk menghadapi temuduga kelak.

Apa-apa pun diharapkan dengan pelancaran Skim latihan 1Malaysia hari ini, ia dapat mencapai matlamatnya menjadi medan baru kepada Siswazah untuk melangkah ke alam pekerjaan.

Monday, May 30, 2011

Akademi Perlumbaan


PUTRAJAYA: Sebuah akademi bagi melatih bakat muda menjadi pelumba profesional diwujudkan tahun depan bagi memupuk amalan menunggang motosikal dengan betul dan selamat serta mengekang budaya lumba haram. 

Ketua Operasi Ride It Right Management Sdn Bhd, Fadzil Ibrahim, berkata akademi yang membabitkan perbelanjaan RM1 juta itu bukan saja melahirkan pelumba profesional, sebaliknya dapat menyebar pengetahuan kaedah lebih berhemah menunggang motosikal, sekali gus mengurangkan nahas.

“Kita mencari lokasi sesuai dan ia mungkin di Melaka. Pertubuhan akademi pertama seumpamanya di negara ini akan mampu memberi kesan positif kepada belia,” katanya di tapak Himpunan Sejuta Belia 2011 di di sini, semalam

Jelas beliau, pihaknya kini hanya mempunyai Akademi Perlumbaan Ride It Right bergerak di enam negeri yang menawarkan latihan intensif dan menggilap bakat pelumba untuk menyertai sirkit tempatan atau antarabangsa. 

Kelab Ride It Right mempunyai lebih 40,000 ahli sejak dilancarkan tahun lalu dengan lebih 7,000 ahli diterima dalam tempoh tiga hari Himpunan Sejuta Belia 2011. 

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan lebih 150,000 belia menjadi pemegang kad keahlian Ride It Right menjelang akhir 2012. [berita harian]

Gejala merempit semakin menjadi-jadi serta tiada kesudahannya. Pelbagai langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak menampakkan keberkesannya. Sehubungan itu, diharapkan dengan akademi ini akan memberikan impak positif dalam mengekang gejala lumba haram. Pendekatan melalui Akademi Perlumbaan Ride It Right amat menarik dan diyakini dapat menarik lebih ramai lagi belia untuk menyertai program ini. Semoga usaha Ride It Right Management Sdn Bhd ini mendapat sambutan yang berterusan dengan sokongan semua puak demi kebaikan bersama. Klik di sini untuk mengetahui maklumat lanjut.

Friday, May 27, 2011

Siti sertai Askar Wataniah?


KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, antara selebriti yang menyatakan persetujuan menyertai Askar Wataniah (AW) menerusi platun khusus dianggotai penggiat seni yang akan dilancarkan tidak lama lagi. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata penyanyi nombor satu negara itu memaklumkan kepadanya hasrat menyertai AW selepas mendapat kebenaran suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

“Siti Nurhaliza bersama selebriti lain akan menjadi ikon AW dan diharap penyertaan mereka menarik minat ramai menganggotai pasukan terbabit,” katanya selepas Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang 2010 Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), semalam. Ahmad Zahid berkata, seperti anggota AW lain yang menyertai pasukan itu secara sukarela, Siti Nurhaliza bersama barisan artis terbabit tidak terkecuali diwajibkan mengikuti latihan 39jam setahun, selain perlu mematuhi syarat ditetapkan. 

“Kita bercadang membawa semua selebriti mengikuti siri jelajah ke seluruh negara dengan beruniform lengkap bagi menarik golongan muda menyertai AW,” katanya. Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, melanjutkan tempoh latihan serta mengemaskini modul latihan fizikal dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) antara cadangan sedang diteliti kerajaan menerusi Strategi Lautan Biru di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi meningkatkan lagi keberkesanan program itu terhadap generasi muda. [berita harian]

Tahniah Siti, anda memang ikon hebat. Moga penyertaan anda akan menjadi contoh kepada generasi muda sekarang. Walaupun telah bergelar Datuk dan Jutawan tetapi anda masih boleh untuk menyertai latihan yang memerlukan kesabaran serta komitmen yang tinggi. Sesuai dengan resmi padi ”semakan berisi semakin tunduk”. 

Monday, May 23, 2011

Nelayan Mati dibaham Buaya

Mayat Mankay Goreh dijumpai di Lubok Nyiar, Kabong
Kabong, Sarawak, Ahad- Seorang lelaki berusia 42 tahun menjadi mangsa terbaru serangan buaya di kampung Empelam dekat sini dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.40 pagi ini. Mangsa, Mankay Gohen atau dikenali sebagi Wak berasal dari serian dibaham buaya semasa bersiap sedia hendak pulang selepas mengangkat pukat (belat) yang dipasang mangsa bersama rakannya pada sebelah siang untuk menangkap udang.

Rakannya, Ahim Wak, 39, memberitahu ketika kejadian semau pukat sudah ditarik naik ke atas perahu dan jarak lokasi kejadian dengan jeti kampung hanya lima minit perjalanan dengan bot yang digunakan.Pada pagi itu,mereka memperolehi kira-kira lima kilogram udang untuk dibawa balik. Katanya,mangsa yang berada di bahagian haluan sedang mencuci tangan dan bersiap sedia untuk pulang pada pagi itu.

“Ketika itulah secara tiba-tiba seekor buaya besar muncul dari permukaan air lalu memyambar bahagian tangan kanan mangsa.Melihat keadaan itu,saya terus menyelamatkan mangsa namun saya hanya sempat menyambar kepala mangsa agak pendek,hanya lampu kepalanya yang berada di dalam terkaman saya,”katanya ketika menceritakan kejadian itu.

Menurut Ahim,mangsa terus hilang dalam kegelapan cahaya dinihari.Usahanya meraung beberapa kali memanggil mangsa tidak berhasil. Justeru katanya, dia mengambil keputusan untuk memaklumkan kepada penduduk kampong. Menurut ahim lagi, ukuran panjang buaya itu kira-kira15 meter dan sudah berusia memandangkan kepalanya bewarna kehitam-hitaman. Gerakan mencari mangsa terus dilakukan penduduk dengan turut diserta Pegawai Tadbir Sarawak Kabong, Nazari Bujang yang dimaklumkan penduduk mengenai kejadian tersebut kira-kira jam 2.50 pagi.

Mayat mangsa akhirnya berjaya ditemui di kawasan hulu Sungai nyiar setengah jam dari kawasan kejadian. Terdapat kesan calar di bahagian dada, luka di kepala serta patah dan tangan kanan mangsa telah patah.

Mangsa telah meninggalkan Isteri, Sepaun Ramli serta enam anak yang berusia enam hingga 18 tahun. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Saratok kira-kira jam 11 pagi tadi. Kejadian amukan buaya ganas di Kampung Empelam kali ini adalah kedua selepas kejadian pada tahun 2008 juga mengorbankan seorang mangsa. Malah mayat mangsa juga ditemui di lubuk yang sama. utusan sarawak