KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan tidak takut dengan pandangan penulis blog, sebaliknya mahu menjadi rakan blogger kerana pandangan mereka diperlukan, termasuk kritikan membina untuk bersama-sama membentuk masa depan lebih baik untuk negara dan rakyat.
Perdana Menteri juga percaya hubungan antara blogger dan kerajaan akan menjadi jalinan penting atas dasar saling menghormati dengan kedua-dua pihak boleh berbeza pendapat, tetapi jangan sehingga langsung tidak boleh menerima pandangan orang lain.
“Era kerajaan mengetahui segala perkara... tahu yang terbaik, sudah berlalu. Marilah berdepan dengan hakikat ini. Kita (kerajaan) tidak boleh tidak mengendahkan dan kita tidak akan tidak mengendahkan... kita mahu tahu pandangan blogger yang mewakili masyarakat Malaysia. Kita memerlukan pandangan anda, malah kritikan membina daripada anda.
“Bagaimanapun, harus ada batas supaya tidak menggunakan ruang siber untuk menipu atau menyatakan separuh kebenaran. Justeru, mesti ada batasan.
“Jika anda bekerja dalam lingkungan berkenaan (menulis atau memberitahu perkara yang benar dan betul), saya percaya blogger akan memainkan peranan amat penting dalam membentuk masa depan lebih baik untuk Malaysia dan ASEAN,” katanya ketika ucaptama pada Persidangan Blogger Malaysia-Rantau ASEAN yang pertama di sini, semalam.
No comments:
Post a Comment