Friday, April 15, 2011

Datuk Khalid Abu Bakar dilantik Timbalan KPN


KUALA LUMPUR: Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Khalid Abu Bakar, dilantik Timbalan Ketua Polis Negara yang baru berkuat kuasa hari ini, menggantikan Datuk Hussin Ismail yang bersara wajib.

Pelantikan Khalid, 54, yang juga bekas Ketua Polis Selangor ke jawatan itu diumumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar di sini, semalam. Bercakap kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas jawatan itu di Mes Pegawai Bukit Aman, Ismail berkata pelantikan Khalid diperkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. 

“Pemilihan beliau juga berasaskan kredibiliti dan kemampuannya yang dilihat mampu meneruskan misi dan visi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengekalkan keamanan serta keselamatan negara. “Saya percaya beliau (Khalid) dapat memainkan peranan dan membantu merealisasikan hasrat PDRM untuk terus menjadikan negara ini aman dan makmur,” katanya. Ismail turut merakamkan penghargaan kepada Hussin yang berkhidmat selama 39 tahun empat bulan, termasuk menjadi orang nombor duanya selama tujuh bulan sejak 14 September lalu. Khalid pula bersyukur atas pelantikannya sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baru dan menganggap sebagai amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab. 

“Saya bersyukur kepada Allah... terima kasih kepada pucuk pimpinan negara dan PDRM memberi kepercayaan kepada saya. Insya-Allah saya akan melakukan yang terbaik untuk menjayakan misi dan visi PDRM,” katanya. Khalid dilantik Pengarah KDNKA, enam bulan lalu selepas tiga tahun mengetuai Polis Selangor, dilahirkan di Seremban, Negeri Sembilan pada 5 September 1957. Bapa kepada tiga anak pernah memegang jawatan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Ketua Polis Negeri Sembilan, menyertai polis pada 15 Disember 1976. 

Sementara itu, Hussin turut melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kepemimpinan dan seluruh warga PDRM atas kepercayaan serta sokongan yang diberikan kepadanya. “Dalam tempoh tujuh bulan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, kami (bersama Ismail) mengharungi pelbagai cabaran dan Insya-Allah apa yang saya lihat, PDRM kini berada di landasan tepat untuk terus memainkan peranan menjaga keamanan dan keselamatan negara,” katanya. Berita Harian

Tahniah Datuk, semoga perlantikan tersebut dapat memantapkan lagi PDRM.


No comments:

Post a Comment