Sunday, January 24, 2010

Pesawat Ringan Terhempas di Simunjan

Simunjan, Sarawak, Seorang juruterbang maut manakala seorang doktor pakar bedah dari Pusat Pakar Perubatan Normah di sini cedera apabila sebuah pesawat ringan persendirian yang dinaiki terhempas di kawasan hutan di Sungai Ladong Simunjan 8.40 pagi ahad 24 Januari 2010.

        
Bangkai Pesawat yang ditemui
 Ketua Polis Simunjan, DSP Choo Yin Kok, berkata juruterbang yang terbunuh adalah Stanley Tiong, 61, manakala penumpang yang cedera ialah Dr Ngu Siu Kong, 58, apabila pesawat berkenaan terhempas di atas pokok di hutan itu. "Kita terima panggilan daripada penduduk kampung berhampiran sekitar 9 pagi dan bergegas ke tempat kejadian dengan dua pegawai dan 18 anggota polis," katanya ketika dihubungi hari ini. 
                                                         

Beliau berkata, pasukan mencari dan menyelamat menemui Dr Ngu yang masih berada dalam pesawat berkenaan pada kira-kira 11 pagi tetapi tiba-tiba beliau terjatuh dari pesawat berkenaan setinggi 100 kaki, menyebabkan beliau mengalami kecederaan. 

Pesawat ringan Cessna buatan Amerika Syarikat
Katanya, selain unit udara polis, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut membantu usaha mencari dan menyelamat pada pagi tadi menggunakan helikopter Nuri. Beliau tidak menyatakan bila pesawat tersebut berlepas dan tujuan penerbangan dilakukan bagaimanapun Bernama difahamkan pesawat itu dari Kuching ke Sibu. 

Sementara itu ambulan milik  Pusat  Perubatan Angkatan Tentera Pangkalan Udara Kuching yang membawa mayat mangsa dan doktor tersebut tiba di Jabatan Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS) pada pukul 1.40 petang tadi.Turut kelihatan ialah saudara-mara mangsa dan doktor berkenaan yang berlegar sekitar pintu hadapan Jabatan Kecemasan HUS dan Rumah Mayat HUS. 

Selepas mendapat rawatan di HUS, Dr Ngu dibawa ke Pusat Pakar Perubatan Normah bagi mendapatkan rawatan selanjutnya dan dilaporkan dalam keadaan stabil. Usaha media untuk mendapatkan komen mengenai kejadian tersebut gagal berikutan permintaan anggota keluarga doktor berkenaan untuk memberi peluang kepada doktor tersebut dirawat dan berehat.-BERNAMA

No comments:

Post a Comment