Wednesday, July 27, 2011

Cantiknya syiling baru


Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini telah membuat pengumuman akan memperkenalkan duit syiling baru siri ketiga awal tahun depan bagi menggantikan siri semasa yang berusia lebih 20 tahun. Duit syiling baru tersebut mempunyai nilai 50 sen, 20 Sen, 10 Sen dan 5 sen. Apa yang boleh dikatakan duit syiling tersebut sangat cantik dan unik setelah diteliti melalui sampel syiling yang ditunjukkan. Ditambah pula dengan penampilan warna emas untuk syiling 50 Sen dan 20 Sen meningkatkan lagi daya tarikan duit syiling baru yang bakal diperkenalkan itu.

Dengan tema ‘Keunikan Malaysia’ duit syiling baru tersebut memaparkan motif seni kraftangan tradisional dan keindahan flora dan fauna yang ada di negara ini.

Wednesday, July 20, 2011

Impak Juvana!


Syabas kepada Khabir Bhatia kerana sekali lagi telah menghasilkan fenomena baru dalam drama bersiri. Sebelum ini drama bersiri Nur Kasih juga telah mencatatkan jumlah penonton yang tinggi untuk setiap episod. Hasil karya beliau tidak terhenti di situ dan meneruskan tradisi memberikan kelainan dalam karyanya. Terbaru, drama Juvana yang telah disiarkan pada 25 April 2011 dan berakhir pada 18 Julai 2011 juga telah mencetuskan fenomena baru kepada penonton.


Buktinya, Statistik daripada AC Nielsen menunjukkan drama bersiri Juvana telah mencatatkan 4.2 juta penonton untuk episod terakhir. Drama bersiri terbitan Filemscape ini mempunyai kekuatan yang tersendiri. Walaupun ramai bintang baru dalam drama ini, namun kekuatan  garapan penceritaan yang berbeza jika dibandingkan dengan drama-drama yang pernah disiarkan oleh TV3 sebelum ini telah menarik perhatian penonton.

Juvana yang mengisahkan tentang liku-liku kehidupan remaja berusia 17 tahun di pusat pemulihan akhlak kerana dituduh membunuh ibunya menampilkan kewujudan watak protagonis dan antagonis dalam penceritaan. Dibarisi pelakon utama seperti Zahiril Adzim, Bront Palarae dan Izreen Azminda telah berjaya menguatkan lagi drama ini.

Drama bersiri Juvana, sememangnya telah banyak memberi pengajaran kepada semua. Semoga Pengarah-pengarah drama lain dapat memberikan  suntikan baru serta genre yang berbeza dan menarik selepas ini.