Monday, April 25, 2011

Kerajaan mahu penulis blog bantu bentuk masa depan negara: Najib


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan tidak takut dengan pandangan penulis blog, sebaliknya mahu menjadi rakan blogger kerana pandangan mereka diperlukan, termasuk kritikan membina untuk bersama-sama membentuk masa depan lebih baik untuk negara dan rakyat.

Perdana Menteri juga percaya hubungan antara blogger dan kerajaan akan menjadi jalinan penting atas dasar saling menghormati dengan kedua-dua pihak boleh berbeza pendapat, tetapi jangan sehingga langsung tidak boleh menerima pandangan orang lain.

“Era kerajaan mengetahui segala perkara... tahu yang terbaik, sudah berlalu. Marilah berdepan dengan hakikat ini. Kita (kerajaan) tidak boleh tidak mengendahkan dan kita tidak akan tidak mengendahkan... kita mahu tahu pandangan blogger yang mewakili masyarakat Malaysia. Kita memerlukan pandangan anda, malah kritikan membina daripada anda. 

“Bagaimanapun, harus ada batas supaya tidak menggunakan ruang siber untuk menipu atau menyatakan separuh kebenaran. Justeru, mesti ada batasan. 

“Jika anda bekerja dalam lingkungan berkenaan (menulis atau memberitahu perkara yang benar dan betul), saya percaya blogger akan memainkan peranan amat penting dalam membentuk masa depan lebih baik untuk Malaysia dan ASEAN,” katanya ketika ucaptama pada Persidangan Blogger Malaysia-Rantau ASEAN yang pertama di sini, semalam. 

Tuesday, April 19, 2011

Kaedah Mudah Pengeluaran KWSP


Pencarum tidak perlu isi borang hanya bawa MyKad dan buku akaun bank 

KUALA LUMPUR: Mulai sekarang, pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mahu mengeluarkan simpanan mereka pada umur 50 dan 55 tahun serta yang mempunyai simpanan melebihi RM1 juta boleh melakukannya secara mudah dengan hanya membawa kad pengenalan dan buku bank ke agensi itu. Tanpa perlu mengisi sebarang borang, pencarum boleh membuat pengeluaran di mana-mana kaunter KWSP dan kelulusan akan diberikan serta-merta selepas kelayakan pengeluaran disahkan.

Bagaimanapun, hanya mereka yang memiliki MyKad boleh berbuat demikian, manakala pemegang kad pengenalan polis dan tentera atau yang masih menggunakan kad pengenalan lama, perlu mengikut proses lama dengan mengisi Borang KWSP9 dan mengemukakan salinan kad pengenalan serta salinan akaun buku bank. 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol, berkata inisiatif pengeluaran mudah itu diperkenalkan bagi mempercepatkan proses permohonan pengeluaran simpanan yang sebelum ini memerlukan pencarum mengisi borang dan mengemukakan salinan dokumen berkaitan.
 
“Ia menunjukkan komitmen KWSP yang sentiasa berusaha mempertingkatkan tahap penyampaian perkhidmatan untuk manfaat ahli,” katanya dalam satu kenyataan semalam. Beliau berkata, dengan jumlah pencarum yang semakin meningkat, adalah penting bagi KWSP memastikan penambahbaikan sistem penyampaian melalui teknologi diteruskan. 

“Ahli diberi jaminan bahawa data dan maklumat peribadi mereka dilindungi berdasarkan tahap keselamatan yang diwujudkan melalui pensijilan ISO/IEC 27001 yang diterima KWSP selepas mematuhi standard antarabangsa yang ketat untuk pengurusan keselamatan data,” katanya. Berita harian

Syabas kepada pengurusan KWSP kerana telah memudahkan urusan pengeluaran pencarum tanpa melalui banyak prosedur. Apa-apa pun diharapkan pihak pengurusan KWSP dapat mencari alternatif terbaik agar dalam melaksananakn kaedah tersebut secara menyeluruh dengan  melibatkan Polis dan Tentera.