Sunday, May 22, 2011

Seramai 91,362 rakyat negara ini dijangkiti HIV sejak 1989


KOTA BHARU 22 Mei - Seramai 91,362 rakyat Malaysia telah dijangkiti HIV sejak virus tersebut kali pertama dilaporkan di negara ini pada 1986 dan bagi tempoh sama seramai 16,352 orang disahkan menghidap AIDS.

Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Profesor Dr. Adeeba Kamarulzaman berkata, dalam tempoh yang sama, sebanyak 12,943 kematian telah direkodkan disebabkan oleh epidemik itu.

Jelas beliau, kaum lelaki mencatatkan jumlah terbanyak yang dikesan menghidap HIV/AIDS iaitu sebanyak 97,085 orang dan daripada jumlah itu, seramai 11,239 telah meninggal dunia.
"Statistik turut menunjukkan seramai 10,629 wanita telah dijangkiti bermula 1988 dan daripadanya seramai 1,704 orang telah terkorban.

"Ini adalah statistik yang dikeluarkan Majlis AIDS Malaysia (MAC) melalui sumber yang diterima daripada Unit Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya ketika ditemui pada Bengkel Latihan Fasilitator Manual Islam dan HIV/AIDS Kelantan di sini, hari ini. - Utusan

Wednesday, May 18, 2011

Ajal selepas sambut Hari Guru

MOHD. AZLIZAN menunjukkan lokasi Mohd. Anuar dan Md. Iskandar menghembuskan 
nafas yang terakhir selepas cuba diselamatkan daripada lemas di Pantai Penunjuk, Kijal semalam.

KEMAMAN - Kegembiraan dua guru lelaki yang pergi mandi-manda di Pantai Penunjuk, Kijal di sini sempena cuti Hari Wesak dan sambutan Hari Guru berakhir tragedi apabila mereka ditemui lemas semalam.
Kejadian pukul 10.30 pagi itu menyebabkan Mohd. Anuar Harun, 28, dari Marang dan Md. Iskandar Arif, 26, dari Muar meninggal dunia selepas gagal diselamatkan daripada lemas ketika mandi di situ.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila salah seorang mangsa cuba membantu rakannya yang lemas sebelum kedua-duanya tenggelam di laut. Mereka ke situ tanpa ditemani guru-guru lain.
Mohd. Anuar mengajar subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan serta Agama Islam manakala Md. Iskandar merupakan guru J-Qaf. Kedua-dua mereka bertugas di Sekolah Kebangsaan Kijal.
Sehari sebelum kejadian, Mohd. Anuar dikatakan telah menyanyikan lagu Andainya Aku Pergi Dulu dendangan Alleycats ketika menyambut Hari Guru di sekolah itu yang seolah-olah menjadi petanda ajalnya bakal tiba.

Perubahan sikap Md. Iskandar daripada seorang yang ceria kepada guru yang murung dengan hanya duduk di kerusi ketika sambutan hari berkenaan turut dikatakan petanda awal dia akan menemui ajal. kosmo