Friday, March 4, 2011

Airasia Contoh Terbaik


Airasia merupakan sebuah syarikat penerbangan tambang murah di rantau ini. Walaupun baru berusia 10 tahun, syarikat tersebut menampakkan peningkatan reputasi yang amat mengagumkan. Lihat sahaja kapasiti Airasia sekarang yang setanding dengan MAS.

Dengan pencapaian tersebut maka tidak hairanlah Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Seri Tony Fernandes sering mendapat pengiktirafan Antarabangsa. Semuanya adalah hasil daripada sistem pengurusan yang bijak. Bayangkan, bagaimana Airasia dapat menawarkan harga tiket yang rendah tetapi masih mampu mengaut keuntungan sedangkan syarikat lain seringkali menaikkan harga tiket.

Kekuatan utama Airasia juga melalui ”konsep pejabat terbuka” di mana golongan atasan duduk bersama staf lain, keadaan ini memudahkan pemantauan dan komunikasi antara eksekutif dengan staf. Memang unik pendekatan yang diamalkan oleh Airasia. Kemunculan Airasia juga telah meningkatkan paras penumpang di KLIA sehingga 35 juta orang setahun.

Mantan PM, Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui sesi dialog di Akademi Airasia, juga menasihatkan Syarikat MAS agar mempelajari pendekatan yang diambil oleh Airasia. Bukan bermaksud MAS mengambil alih peranan tambang murah, tetapi mengenal pasti bahagian manakah yang boleh dipelajari. Walaupun kekuatan pada MAS adalah nilai ekslusifnya, namun imej tersebut perlu selari dengan keuntungan yang dicapai. MAS juga perlu keluar dari kepompong lama dalam mempastikan syarikat tersebut terus maju ke hadapan. 

Wednesday, March 2, 2011

1,086 Penjawat Awam Bankrap

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, hari ini mendedahkan ramai penjawat awam di negara ini dibelenggu masalah hutang yang serius yang mungkin membawa kepada kebankrapan. Beliau berkata, pada 2009 sahaja Jabatan Insolvensi Malaysia melaporkan 1,086 penjawat awam diisytiharkan bankrap dimana72.74 peratus daripadanya adalah lelaki.

"Masalah ini perlu difahami oleh semua penjawat awam kerana belenggu masalah hutang boleh menjejaskan prestasi penjawat awam dan sekiranya prestasi terjejas dengan teruk maka boleh diambil tindakan tatatertib," katanya.

Beliau menegaskan demikian ketika merasmikan Taklimat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Taklimat Kebankrapan dan Taklimat Bantuan Guaman kepada ahli Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.- Bernama