Sunday, January 24, 2010

Pesawat Ringan Terhempas di Simunjan

Simunjan, Sarawak, Seorang juruterbang maut manakala seorang doktor pakar bedah dari Pusat Pakar Perubatan Normah di sini cedera apabila sebuah pesawat ringan persendirian yang dinaiki terhempas di kawasan hutan di Sungai Ladong Simunjan 8.40 pagi ahad 24 Januari 2010.

        
Bangkai Pesawat yang ditemui
 Ketua Polis Simunjan, DSP Choo Yin Kok, berkata juruterbang yang terbunuh adalah Stanley Tiong, 61, manakala penumpang yang cedera ialah Dr Ngu Siu Kong, 58, apabila pesawat berkenaan terhempas di atas pokok di hutan itu. "Kita terima panggilan daripada penduduk kampung berhampiran sekitar 9 pagi dan bergegas ke tempat kejadian dengan dua pegawai dan 18 anggota polis," katanya ketika dihubungi hari ini. 
                                                         

Beliau berkata, pasukan mencari dan menyelamat menemui Dr Ngu yang masih berada dalam pesawat berkenaan pada kira-kira 11 pagi tetapi tiba-tiba beliau terjatuh dari pesawat berkenaan setinggi 100 kaki, menyebabkan beliau mengalami kecederaan. 

Pesawat ringan Cessna buatan Amerika Syarikat
Katanya, selain unit udara polis, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut membantu usaha mencari dan menyelamat pada pagi tadi menggunakan helikopter Nuri. Beliau tidak menyatakan bila pesawat tersebut berlepas dan tujuan penerbangan dilakukan bagaimanapun Bernama difahamkan pesawat itu dari Kuching ke Sibu. 

Sementara itu ambulan milik  Pusat  Perubatan Angkatan Tentera Pangkalan Udara Kuching yang membawa mayat mangsa dan doktor tersebut tiba di Jabatan Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS) pada pukul 1.40 petang tadi.Turut kelihatan ialah saudara-mara mangsa dan doktor berkenaan yang berlegar sekitar pintu hadapan Jabatan Kecemasan HUS dan Rumah Mayat HUS. 

Selepas mendapat rawatan di HUS, Dr Ngu dibawa ke Pusat Pakar Perubatan Normah bagi mendapatkan rawatan selanjutnya dan dilaporkan dalam keadaan stabil. Usaha media untuk mendapatkan komen mengenai kejadian tersebut gagal berikutan permintaan anggota keluarga doktor berkenaan untuk memberi peluang kepada doktor tersebut dirawat dan berehat.-BERNAMA

Wednesday, January 20, 2010

MALAYSIA DIJANGKA MEMPUNYAI 70 JUTA PENDUDUK 2100

Malaysia menyambut kedatangan 516,645 bayi tahun lepas, meningkat 3.9 peratus atau 20,231 berbanding tahun 2008. Selangor kekal dengan kadar kelahiran paling tinggi iaitu 80,110 diikuti dengan Sabah mencatatkan 60,190 dan Johor seramai 58,597, menurut statistik yang diperolehi daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Pada 2008, Selangor mendahului dengan 76,932, Johor 58,517 dan Sabah 51,773. Jumlah kematian tahun lepas ialah 129,922 berbanding 123,335 pada tahun 2008, peningkatan 5.1 peratus atau 6,587.

Selangor juga negeri yang mencatat kadar kematian yang paling tinggi iaitu 16,494 diikuti Johor 15,749 dan Perak 15,467.

Menurut laman web Jabatan Perangkaan Negara, jumlah penduduk Malaysia pada 2007 mencapai 27.17 juta dan meningkat kepada 27.73 juta pada 2008 dan dianggarkan bertambah kepada 28.31 juta bagi 2009. Sejak beberapa tahun lepas, penduduk dalam lingkungan umur 15 hingga 64 tahun merupakan 63 peratus daripada jumlah penduduk negara, 32 peratus berumur bawah 15 tahun manakala selebihnya berumur 65 tahun ke atas.

Pensyarah Pusat Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia Marshitah Mohd Radzi berkata Malaysia mempunyai kadar kelahiran yang sihat sejak 10 tahun kebelakangan ini.

"Ini merupakan satu pertumbuhan yang sihat jika dilihat dari segi kemampuan rakyat Malaysia yang boleh menampung kelahiran tersebut," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Beliau berkata mengikut Dasar Kependudukan 1985, Malaysia dijangka mempunyai 70 juta penduduk pada 2100.

Marshitah berkata kadar kelahiran haruslah bersifat positif dan mempunyai kadar kelahiran yang bersifat serata di kawasan bandar mahupun luar bandar.

"Saiz keluarga yang makin bertambah akan mengakibatkan perbelanjaan sesuatu keluarga turut bertambah. Maka kependudukan yang positif dicapai ketika elemen saiz keluarga dan pendapatan dicapai sama-sama," tambah beliau. Marshitah berkata menurut analisis demografi, saiz kelurga yang paling kecil di Malaysia ada daripada etnik Cina, diikuti oleh kaum India. Kaum Melayu masih mempunyai saiz keluarga yang ramai, katanya.

Banci penduduk dan keluarga dijangka diadakan sekali lagi pada tahun ini.-BERNAMA